Monday 5 December 2011

ICT pupuk kemahiran abad ke-21



Bersama  Dr Norrizan Razali
 
SEBAGAI seorang penjaga, pendidik, atau pekerja di era ini, kebanyakkan dari kita memang tidak dapat lari daripada ungkapan-ungkapan berhubung kepentingan kemahiran abad ke-21.  Secara ringkasnya, pendidikan atau pembelajaran abad ke-21 berkitar pada pendapat bahawa persekolahan selama 150 lalu ialah ciptaan abad ke-19. 
Persekolahan kini harus diubah seiring dengan permintaan ekonomi terkini. Sekolah, kemahiran dan pembelajaran yang direka untuk menyediakan pelajar untuk berkerja dan hidup di dalam ekonomi perindustrian perlu pemikiran baharu. 
Perubahan diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang yang banyak dipengaruhi oleh dunia yang dicorakkan oleh pembangunan teknologi. Pemikiran ini merujuk pada pandangan bahawa pembelajaran patut memanfaatkan teknologi untuk pedagogi terkini yang lebih prihatin kepada ciri-ciri pelajar sekarang.
Penekanan perubahan pendidikan yang dimaksudkan mengaitkan kemahiran abad ke-21 dengan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Tulisan saya kali ini bertujuan berkongsi pandangan berhubung peranan ICT dalam penguasaan kemahiran abad ke-21.
Bagi perkembangan individu dalam ekonomi digital, pelajar-pelajar memerlukan kemahiran abad digital. Peranjakkan pendidikan selari dengan abad ke-21 adalah penting untuk menyediakan pelajar untuk berhadapan dengan dunia di luar bilik darjah. Oleh itu, sistem pendidikan semestinya menghayati kemahiran abad ke-21 dalam konteks piawaian akademik yang teliti.
 Pelbagai jenis kemahiran abad ke-21 telah dibincangkan.  Walau bagaimanapun, dalam tulisan ini, saya akan memberi tumpuan pada empat jenis kemahiran yang digariskan iaitu literasi digital, pemikiran kreativiti, kemahiran berfikir secara kompleks dan komunikasi interaktif .
  Jelas bahawa kebanyakkan kemahiran abad ke-21 adalah berdasarkan kepada pendedahan terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis, dan mengira, literasi abad ke-21 melibatkan literasi digital.
Literasi budaya dan kesedaran global turut menjadi tuntutan abad ke-21. Sememangnyalah literasi digital berhubung teknologi maklumat dan visual adalah menjurus kepada ICT. Dengan pengalaman menggunakan ICT, guru-guru dan pelajar boleh meningkatkan kemahiran tersebut. Literasi digital dalam konteks kemahiran abad ke 21 bermaksud keupayaan pengguna untuk menggunakan kemahiran tersebut dengan cekap dan berkesan.
Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari Internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai, dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga, kesedaran global di era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat.
Pemikiran asas pencipta, kreativiti dan kemahiran berfikir secara kompleks dan komunikasi interaktif tersedia luas dalam persekitaran digital.  Walau bagaimanapun, guru haruslah berkemahiran menyediakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang memupuk daya mencipta, kreativiti dan pemikiran kompleks.
Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh memupuk kemahiran tersebut. Topik-topik tertentu dalam mata pelajaran sejarah dan sains, misalnya, boleh diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan komunikasi interaktif di mana pelajar berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat media social sepertie-mel, Facebook atau blog
Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon pintar; connectivity (penyambungan) seperti WiFi; rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter; enjin carian seperti Google dan Yahoo; dan portal perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.
Kekangan sedia ada mungkin tidak membolehkan pelajar menggunakan teknologi bergerak (mobility) seperti talipon pintar di sekolah.  Namun pelajar-pelajar boleh menggunakannya di luar sekolah untuk mendapatkan maklumat dan berinteraksi mengenai projek.
Guru-guru bukan setakat perlu memahami persekitaran digital tetapi mempunyai kemahiran untuk mengintegrasikan teknologi digital tersebut dengan bersesuaian dalam aktivit pengajaran dan pembelajaran.
Jelas sekali bahawa pembangunan abad ke 21 di kalangan pelajar-pelajar memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah.
Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula progam latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan, persekolahan, dan kemahiran abad ke-21.

No comments:

Post a Comment